Powered by Blogger.
RSS

Minggu 1- Artikel "Kesan Budaya dan Bahasa dalam Sastera Siber"

Oleh : HASYUDA ABADI

Kota Kinabalu, Sabah.

Abstrak
Makalah ini mengajak perbincangan mengenai sastera siber, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam penyaluran bahan-bahan sastera dalam media yang canggih dan terkini. Sebagai saingan media masa sedia ada, sasaran para pengarang di ruang maya atau siber yang mudah, segera dan berkesan ini bagaimanapun tidak mudah untuk melahirkan karya yang besar sebagai mercu tanda kehebatan teknologi itu sendiri. Dalam masa yang sama perhatian juga diberikan terhadap kesan akibat budaya pengguna internet yang gagal membezakan penggunaan bahasa di internet dan di luar internet. Namun begitu, para penulis juga tetap berhasrat untuk menyebarkan hasil sastera kebangsaan di dunia global melalui hasil sastera yang tiada batasan bangsa dan geografi khalayaknya sebagai mewakili bangsa, budaya dan agama di mana dia menjejak bumi dan menjunjung langit.

Pendahuluan

PEMANFAATAN teknologi bagi seni bukanlah suatu tabu. Dari segi sejarah, hubungan antara teknologi dan seni boleh ditelusuri menerusi akar kata seni yang berasal dari tekhne dalam bahasa Yunani, dan kemudiannya terbentuk kata technology. Sehingga pada dasarnya, teknologi bagi seni menjadi kesatuan dominan dengan dan dalam peradaban dan kebudayaan. Bahkan kualiti sesebuah karya sastera itu sendiri tidak pernah ditentukan oleh kualiti komputer atau kualiti kertas, tetapi sebagai sebuah media eksistensi alternatif, dunia siber telah menunjukkan daya gunanya yang cukup berkesan dan bertenaga.

Pandangan bahawa sastera siber adalah sastera bebas termasuk bebas dari sudut mutunya merupakan suatu pandangan yang kurang benar. Unlimited dalam sastera siber terbatas dalam perbandingannya dengan sastera surat khabar atau majalah dan buku hanyalah dari segi waktu dan ruang. Evolusi kebudayaan ini menyebabkan kemanusiaan berlaku dan memperlakukan segala sesuatu secara berkesan. Sehingga segala sesuatu kembali kepada manusia sendiri, bagaimana ia memanfaatkan teknologi dan bukan dimanfaatkan oleh teknologi. Sastera siber bukanlah dosa penyimpangan karya sastera melainkan salah satu bentuk hasil mutakhir dengan pemahaman umum iaitu cepat, mudah dan nyaman (Medy Loekito: 2001).

Sastera Teknologi Tinggi dan Gelombang Budaya Globalisasi
Penggunaan komputer dan internet membawa kita ke suatu lagi tahap perkembangan baru yang pasti telah menukar suasana dan corak karya sastera yang dilahirkan dan digunakan oleh pembaca sastera di ruang siber yang baru. Bagaimanakah corak dan fungsi sastera di ruang siber ini? Berdasarkan pemerhatian awal kita boleh melihat beberapa perubahan berikut:
Karya-karya sastera Melayu mendapat saluran atau media baru di ruang siber.

Peranan
dan corak kegiatan agen atau insitusi penyebar sastera yang kini dikuasai oleh para penerbit dan pengedar buku dan sebagainya berubah.

Karya sastera mengalami penyesuaian dan perubahan akibat perubahan media ini. Malah bentuk dan jenis sastera baru lebih bersifat interaktif. Khalayak sastera akan berubah secara radikal. Pembaca karya sastera tidak lagi di kalangan masyarakat Melayu di negara atau rantau yang sama dengan penulis, tetapi lebih luas, di luar batas politik dan geografi, usia dan sebagainya Proses penciptaan dan penyebaran yang serba segera menuntut daya tarikan, daya saingan, strategi dan ketahanan seni serta kesan sastera yang berbeza.

Dalam era baru ini, kita bukan sahaja perlu melahirkan sekumpulan penulis yang mencintai bahawa Melayu, boleh menulis dengan baik dalam bahasa Melayu, mampu mempertahankan kemurniannya serta gigih berusaha untuk meningkatkan keindahan bahasa tersebut. Yang lebih mencabar lagi ialah kita haruslah melahirkan para pujangga Melayu di ruang siber, pujangga yang bukan sahaja mampu berkarya dalam bahasa Melayu yang baik dan indah bahkan mempunyai daya tarikan seni dan daya ketahanan global yang kental.

Unsur-unsur baru di atas memerlukan para penulis kita menilai semula konsep kepengarangannya sesuai dengan perubahan-perubahan dari segi media, proses penghasilan dan penyebaran serta khalayak sastera yang baru ini. Untuk mendapatkan perhatian dan tempat terhormat di kalangan khalayak antarabangsa melalui halaman sastera siber, tentu sekali sasterawan Melayu tidak boleh terus berkarya dalam kepompong sastera dan pendekatan seni yang beku dan sempit. Penghasilan karya sastera bercetak dalam bentuk buku mungkin tidak akan dihentikan dan akan berterusan seperti sastera bercorak lisan yang masih berkekalan biar pun muncul media cetak sebagai saingan. Persoalan utama ialah untuk mengisi keperluan baru yang timbul akibat fenomena teknologi baru ini. Bagaimanakah bentuk karya yang bermutu tinggi untuk mengisi halaman seni global? Bagaimana kita boleh melahirkan pujangga ruang siber ini?

Pada tahap awal ada beberapa keperluan dasar yang harus diisi secara bijaksana:

Para penulis perlu mempelajari dan menguasai teknologi baru kerana jika mereka tidak celek dengan teknologi buta IT, mereka akan ketinggalan dan terus meraba dan sesat dalam alam siber ini.

Penggunaan teknologi maklumat dijangka mengubah cara dan rentak hidup para penggunanya dan juga akan menukar pemikiran dan cita rasa mereka. Para penulis perlu meneroka dan memahami kehidupan semasa dan cita rasa generasi baru dan mendatang terhadap bahasa dan seni serta berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan suasana ini.
Para penulis juga harus mempunyai
visi dan wawasan yang tajam dalam kehidupan dan penulisan mereka serta harus boleh meneroka tema baru yang relevan dan mencuba mencipta genre dan pendekatan sastera baru yang paling berkesan untuk ruang siber.

Karya-karya yang sedia ada termasuk warisan sastera kita yang kaya perlu dirakam semula dalam bentuk teknologi terkini. Karya-karya sastera Melayu klasik misalnya perlu dihasilkan dalam bentuk baru untuk penyaluran di internet atau ruang siber. Misalnya dalam laman web khas, CD ROM, VCD dan seumpamanya. Begitu juga perlu difikirkan usaha untuk merakamkan karya-karya dan kegiatan-kegiatan sastera serantau dalam bentuk baru ini, tanpa menyisihkan media sastera yang sedia ada. Organisasi-organisasi penulis dan institusi sastera perlu menyesuaikan dan memanfaatkan media dan bentuk jaringan komunikasi baru. Sebagai contoh persidangan sastera dan penyebaran karya melalui media elektronik adalah ruang baru yang perlu diteroka oleh badan-badan sastera dan sasterawan Melayu.
Ruang
siber menjadi wadah dan bahan baru untuk dikaji para sarjana. Hasil penelitian dan kajian para sarjana juga mempunyai saluran baru untuk disebarkan kepada golongan karyawan dan juga masyarakat umum. Malah dengan teknologi digital dan komputer, sistem penyusunan dan penggolongan sastera rantau kita boleh ditingkatkan dan dikemaskan.

Sastera Siber di Malaysia

Sastera siber mula mendapat tempat oleh kebanyakan pengguna dan juga peminat sastera sebagai medan alternatif untuk meneruskan kesinambungan karya mereka menemui khalayak. Sebagai antara pilihan terbaik, ia secara tidak langsung bergerak sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat, yang memungkinkan semua manusia berada dalam satu kampung. (Mohd. Dahri Zakaria: 2004)

Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok penulis, terutamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah laman Pustakamaya.net, Melayu.com, Karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net, www.esastera.com, cybersastra.com, komposisionline, zikirgroups.com, kelab maya sastera Sabah (KEMSAS), dan beberapa lagi. Namun, antara yang ramai itu, yang agak menonjol ialah laman www.esastera.com.

Istimewanya laman ini apabila ia merupakan satu-satunya laman siber yang memuatkan sepenuhnya hasil karya sastera dalam pelbagai genre oleh kebanyakan pengunjungnya. Malah ia juga dikenali sebagai majalah sastera elektronik. Komitmen pengendalinya inilah yang menjadikannya antara laman yang menarik untuk dikunjungi dan seterusnya berkarya di situ.

www.esastera.com (selepas ini disebut e-sastera) mula dilancarkan pada 23 Disember 2002 bertempat di Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya bersempena dengan majlis yang dinamakan sebagai ‘Gathering Raya Penyair Alam Siber’. Sempena majlis itu, sekalian penghuni dan pengkarya di laman berkenaan berhimpun untuk pertama kalinya di alam nyata setelah sekian lama berhimpun di alam maya. Setahun sebelumnya laman ini lebih dikenali sebagai www.comunityzero.com/penyair.

Menurut pengasasnya, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, sewaktu pelancaran e-sastera fasa 2, begitu menyuguhkan tentang komitmen penganjur untuk menjadikan laman itu sebagai satu platform dalam usaha untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu dekad ini.

Sehingga kini, terdapat beberapa ruangan khusus yang menghidangkan karya-karya penghuninya. Antaranya, ‘Penyair’ yang memuatkan karya-karya ahli berbentuk sajak, ‘Sajen’ untuk sajak jenaka, ‘Haiku’, iaitu antara bentuk puisi Jepun yang terkenal yang ditulis dalam Bahasa Melayu, ‘Resensi’ yang memuatkan ulasan atau kritikan terhadap karya-karya yang sedia ada di pasaran terbuka, ‘Cerpenis’ yang menghimpunkan cerpen-cerpen, ‘Berita dan Bicara Sastera’ yang menghimpunkan maklumat dan juga laporan tentang kegiatan-kegiatan sastera yang berlangsung di dalam negara, ‘Novel’ yang memuatkan novel bersiri yang ditulis oleh ahli-ahli tetap secara bergilir untuk meneruskan sinambungan cerita, ‘Poets’ yang memuatkan puisi-puisi dalam bahasa Inggeris, ‘Profil’ yang memuatkan biodata ahli-ahli laman berkenaan, ‘Madah dan Pantun’ dan beberapa pilihan genre lagi. Kepelbagaian pilihan yang ada ini memungkinkan pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk dikunjungi.

Laman ini merupakan tempat berhimpun ramai penulis, termasuk yang muda dan mapan. Di sinilah anda akan ditemukan dengan pelbagai nama seperti Drirwan, Arisel B.A., Sri Diah, Nimoiz T.Y. dan ramai lagi. Malah, di sini juga kita akan bertemu dengan kelompok penulis dari pelbagai pelusuk dunia. Ada yang datang dari Indonesia, Mesir, Jepun, Amerika Syarikat dan pelbagai lagi. Mereka inilah antara pengunjung setia serta penyumbang tetap di laman berkenaan.

Istimewanya di sini, setiap karya mempunyai peluang untuk ‘dibedah’ secara langsung. Ini kerana, di ruangan-ruangan yang disebutkan di atas, turut memuatkan ulasan-ulasan serta kritikan yang dibuat oleh penghuni lain. Ini menjadikan penulis karya itu dapat mengetahui maklum balas pembaca dengan cepat dari pelbagai sudut terutamanya untuk menilai kelemahan dan kekuatan sesebuah karya.

Malah sebelum itu juga turut diperkenalkan sistem mentor antara penulis mapan dan baru. Karya-karya penulis baru, terutamanya sajak di e-mel terlebih dahulu kepada mentor yang dilantik untuk dinilai atau diberi ulasan sebelum dimuatkan ke dalam laman berkenaan. Ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pendapat antara keduanya.

Karya-karya juga dapat disiarkan secara bebas dan terbuka. Bermutu atau tidak, itu soal kedua. Tetapi bila sudah berkarya di situ, karya-karya anda akan dinilai dengan segera, dan tidak dapat tidak, anda akan memilih karya-karya yang terbaik sahaja untuk tujuan siaran di situ. Sungguhpun begitu, pengendali sendiri tetap menetapkan syarat, seperti karya-karya yang menyentuh moral, peribadi, atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan keaiban orang lain, awal-awal lagi karya seperti ini ditolak. Seperti juga di mana-mana laman atau tempat di dunia ini.

Sehingga kini, laman berkenaan telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) pada tahun 2004. Melalui anugerah berkenaan, sajak-sajak ahli yang tersiar di laman berkenaan sepanjang tahun 2002 telah dinilai untuk menerima anugerah berkenaan melalui satu majlis yang telah diadakan yang dinamakan Hadiah eSastera.com (HeS.Com) 2003 yang menawarkan hadiah utama bernilai RM2003, sijil dan cenderamata. Sajak Jenaka (Sajen) juga turut dinilai untuk menerima Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) yang menawarkan hadiah sebanyak RM1000.

Melalui anugerah itu juga, beberapa naskhah buku turut telah diterbit iaitu APAS (sebuah antologi puisi pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber). Sajak-sajak yang termuat di dalam antologi berkenaan merupakan sajak pilihan yang turut dinilai untuk Hadiah Esastera.com (HeS.Com) 2003.

Dua buah lagi ialah SAJEN yang merupakan antologi sajak jenaka pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber untuk Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) 2003 dan Kursus Kepenyairan E-Sastera. Ketiga-tiga naskhah berkenaan diselenggarakan oleh Irwan Abu Bakar dan Hashimah Harun dan diterbitkan oleh kAPAS Publication. Manakala untuk tahun hadapan pula terdapat beberapa penambahan hadiah lain turut ditawarkan dalam HeS.Com 2004 seperti Anugerah Cerpenis Alam Siber (ASCAS), Anugerah Haiku Alam Siber (HAIJIN) dan beberapa lagi.

Selain daripada itu, beberapa sayembara lain turut diadakan sepanjang tahun. Ia juga turut dikenali sebagai ‘Sayembara di Talian’ yang diadakan bersempena dengan sesuatu peristiwa seperti Sayembara Puisi Perang, Sayembara Puisi Hari Bapa, Sayembara Puisi Hari Keluarga, Sayembara Puisi Hari Guru dan Sayembara Puisi Maulidur Rasul.

Beberapa hadiah tidak berkala juga turut ada seperti penyumbang sajak terbanyak untuk tahun berkenaan, sajak keseribu, deklamator terbaik (dinilai dalam dua pertemuan sebelum ini), pengulas prolifik dan beberapa lagi. Dan terbaru sempena pelancaran e-sastera fasa 2, penganjur telah mula menawarkan hadiah Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) yang merupakan projek terbesar laman berkenaan. ASWAS yang pertama akan mula dikeluarkan pada tahun 2006 dengan menjadikan karya-karya yang tersiar di laman berkenaan sepanjang tahun 2002 hingga 2005 sebagai penilaian. Dan khabarnya, hadiah yang ditawarkan mencecah ke angka RM100,000!

Ini jelas menunjukkan bahawa sastera siber sudah mampu untuk pergi jauh ke hadapan meninggalkan tanggapan yang sedia ada. Tidak dapat tidak, dunia sastera siber mula mendapat tempat dan mampu duduk sebaris dengan dunia sastera arus perdana. Penulis-penulis baru sudah boleh berkarya dengan bebas tanpa menunggu peluang yang terlalu mereka lalui.

Bagai komuniti kecil sastera di Sabah, tumpuan para penulis juga luas termasuklah menerusi mailing list yang dikenali iaitu Kelab Maya Sastera Sabah atau ringkasnya KEMSAS. KEMSAS tidak ada bezanya dengan mailing list anjuran yahoo.egroups yang lain seperti Masyarakat Sastera Siber di Indonesia, Zikir Groups yang dikendalikan oleh Kemala dan Sastera Sufi kendalian Haji Johar Buang di Singapura. Menerusi kelab maya atau siber ini, para penulis yang menjadi ahlinya boleh berinteraksi secara interaktif. KEMSAS juga menjadi medan percambahan buah fikiran di kalangan ahlinya selain sebagai wahana karya seperti puisi, cerpen dan esei berkaitan sastera dan budaya. Kelab maya ini dikendalikan oleh beberapa orang moderator yang bertanggungjawab menapis setiap hantaran mesej atau bahan tulisan ahli sebelum ditatap oleh pelawat KEMSAS. KEMSAS turut diperkenalkan dengan lahirnya penulis-penulis baru sebagaimana yang terjadi dalam sastera surat khabar atau majalah, seperti Anthonia Gilung, Elwan Truman (Semut Jingga), Nazri Abdullah, Anira Bam, Luciana Benjamin dan Nurul Omar selain daripada nama-nama penulis yang sedia ada yang kebanyakannya mapan seperti ABM Fajeer, Zaini Ozea, Haji Ismaily Bongsu, Mabulmaddin Shaiddin, Abd Naddin Shaiddin, Sasjira, Jasni Yakub, Ony Latifah Osman, Ramzah Dambul (Rem), Shukri Shaifuddin, Juilis Mokujal, Katerina Tati, Nadin Haji Salleh, Aliuddin Mohd Salleh (Ailin Nor), Muharsafa Kirana Bacho dan Lenny Deen Erwan.

Selain KEMSAS komuniti sastera siber juga memerhatikan sebuah lagi mailing list egroups iaitu zikir-group yang dikendalikan oleh Dato’ Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Zikir-group menjadi tumpuan lebih ramai tokoh sasterawan dan budayawan rantau Nusantara. Nama-nama penulis tanah air seperti Fudzail, Siti Zainon Ismail, Hasyuda Abadi, Nisah Hj. Haron, Imlan Adabi, Nazmi Yakub dan Arisel B.A. Malah egroups ini juga memaparkan buah fikiran para penulis luar seperti Sorana dari Romania, Ikranagara (Washington DC), Noridah Kamari (Singapura), Tiara (Singapura), Nanang Suryadi (Jakarta), Aminur Rahman (Dakka, Bangladesh), Jhanananda (US), Tae Ho Han (Korea), Arief Ludiantoro (Jakarta) dan Daery AD Viddy (Jakarta).

Kewujudan medan-medan mailing list tidak semata-mata menempatkan bahan-bahan buah fikiran menerusi karya sastera, laporan dan sebagainya bahkan juga menjadi lebuh raya penghubung antara benua dan rantau. Melalui wacana sastera, kita mampu memperoleh maklumat dengan cepat sekali.

Kesan budaya dan bahasa dalam ruangan siber
Budaya internet kini menerobos setiap kewujudan. Masyarakat Melayu juga tidak ketinggalan dalam perkembangan positif ini. Kini terdapat banyak lelaman di internet mengenai pengajian Melayu. Dunia Melayu di internet semakin meluas. Perkembangan positif ini terus mengisi ruang siber melalui e-mel dan chat sebagai wahananya. Penggunaan kedua-dua unsur wahana ini dalam bahasa Melayu secara tidak lansung membantu melestarikan bahasa Melayu.

Jika kita singkap lelaman-lelaman tersebut, perasaan takjub akan timbul tatkala terlihat betapa ramainya pengguna bahasa Melayu mengeksploitasi kemudahan komunikasi ini. Kesan penggunaan yang serba mudah dan serba luas ini, banyak istilah baru terhasil sebagai kemudahan ekspresi. Misalnya perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a'kum (assalamualaikum), w'lam (wa'alaikumsalam), dowang (mereka), wokay (baiklah), tipon (telefon) dan persal (mengapa).

Perkembangan ini sangat menarik jika ditinjau dari aspek pelestarian bahasa. Ia membuktikan kedinamikan bahasa Melayu yang kekal relevan dalam zaman siber ini. Ini merupakan satu sikap positif dan terpuji. Bahasa Melayu tetap digunakan dengan beberapa pengubahsuaian bagi memudahkan perbualan. Namun demikian manipulasi bahasa seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri.

Perbuatan memendekkan kata-kata atau pun ayat sering melahirkan makna yang berbeza jika dinilai oleh "seorang bukan siber" yakni mereka yang baru saja berjinak-jinak dengan alam internet. Bagi "orang-orang siber" pula, bahasa yang diubahsuaikan itu akan menjadi satu kebiasaan sehinggakan terbawa-bawa kepada perbualan ataupun penulisan di luar alam siber iaitu di alam realiti. Misalnya terdapat kata gantinama yang telah diubahsuaikan menjadi dowrang (mereka), sayer (saya), dier (dia), korang (kamu), nko (engkau) dan nyer (nya), nie (ini). Begitu juga dengan kata tanya yang diubahsuaikan menjadi asal (mengapa), biler (bila), camner (bagaimana), maner ( mana) dan naper (kenapa). Amat menyedihkan pula istilah-istilah agama seperti dipermainkan misalnya alah (Allah), A'kum (Assalamualaikum) dan w'lam (Wa'alaikumsalam).

Keadaan ini selanjutnya membawa kepada terhasilnya ayat-ayat tidak gramatis kerana menyeleweng daripada hukum-hakam tatabahasa. Misalnya ayat-ayat - "Leh sayer kenal2 dengan awak?" (Bolehkah saya berkenalan dengan awak), "A'kum semuer. Kat maner nie? " (Assalamualaikum semua. Awak berada di mana?), "Skang nie pon dah ader benda tuu." (Sekarang ini pun sudah ada alat itu).

Situasi itu menjadi genting apabila pengguna-pengguna internet gagal membezakan penggunaan bahasa di internet dan di luar internet. Ini berlaku apabila mereka menggunakan istilah, pemendekan dan ayat-ayat di ruang siber dalam perbualan sesama teman dan guru. Masalah pemahaman akan timbul kerana komunikasi menjadi kurang jelas. Namun kesan yang amat ditakuti adalah penyelewengan bahasa semakin berleluasa dari alam maya ke alam realiti.

Pada pragmatiknya, kita dapat melihat satu percubaan menarik dalam penggunaan bahasa Melayu. Namun demikian kesan sikap berlebihan mengakibatkan penyelewengan bahasa menjadi di luar kawalan. Pada tahap permulaan berlaku pemendekan istilah yang masih mudah difahami seperti tak (tidak), saja (sahaja), duk (duduk), gini (begini), gitu (begitu), mau (mahu) dan reti (mengerti). Pada tahap pertengahan pula berlaku penyerapan kata kepada bahasa lisan seperti digunakan dalam perbualan biasa misalnya amik (ambil), antar (hantar), bace (baca), mane (mana), same (sama), kecik (kecil), ape (apa) dan hotak (otak).

Perkembangan selanjutnya memaparkan pemelatan kata-kata, mungkin dengan tujuan meriahkan suasana perbualan atau sekadar menambahkan kemesraan misalnya caye (percaya), camni (macam ini), camtu (macam itu), teypon (telefon), keng-kawan (kawan-kawan), cedap (sedap), amik atti (ambil hati), pompan (perempuan) dan mepek (merepek).

Kemudian lahir kata-kata bersifat irama seperti seryuz (serius), lepaz (lepas), wajibz (wajib), sayer (saya), biler (bila), kiter (kita), jumper (jumpa), luper (lupa) dan nyer (nya). Proses pelahiran istilah internet bahasa Melayu mencapai kematangan apabila istilah spesifik berputik seperti om (orang), ngan (dengan), je (sahaja), ur (awak), lak (pula), kerker (ketawa kecil), hmmm (sedang berfikir) dan ha x 9999999 (ketawa terbahak-bahak). Akhir sekali lahir penggunaan simbol-simbol seperti :) atau _ (mimik muka senyuman), :( atau _ (mimik muka sedih / masam), :P (mimik muka yang mengejek), :))) (mimik muka sedang ketawa), :O (mimik muka terkejut) dan n (menandakan berakhirnya perbualan).

Demikian proses evolusi bahasa Melayu internet. Sejarah menonjolkan betapa bahasa Melayu telah berkembang daripada status kuno kepada moden setelah melalui beberapa proses penyerapan daripada bahasa-bahasa Sanskrit, Arab, Cina dan Inggeris. Proses peristilahan telah berjaya memartabatkan bahasa Melayu agar tidak beku, sebaliknya terus dinamis. Alaf baru ini meneruskan proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya. Bahasa Melayu Internet tidak perlu melalui proses peristilahan ataupun konstruksi kata dan ayat oleh pakar bahasa. Kini istilah-istilah baru dapat dihasilkan oleh orang perseorangan. Pengikirafan diberikan atas dasar musyawarah iaitu difahami dan digunakan secara konvensi oleh pengguna-pengguna internet.

Ini merupakan satu perkembangan menarik dan sihat. Namun demikian, kesan jangka panjang terhadap bahasa Melayu tidak seindah perkembangan ini. Jika dibiarkan sahaja, pencemaran bahasa akan menjadi satu kebiasaan. Sekiranya konvensi menerima kebiasaan ini bagi pengunaan di alam realiti maka akan lenyap bahasa Melayu yang gramatis dan murni. Sebaliknya pengguna-pengguna internet seharusnya mencari jalan untuk memastikan bahasa Melayu tetap terpelihara. Laras internet sebaiknya disimpan sahaja di dalam internet agar kemurnian dan kedinamikan bahasa Melayu lebih terselah dan kekal relevan. Biarlah ia berkembang mengikut tempat dan penggunaannya.

Sastera siber sebagai pengimbang kehidupan

Era teknologi maklumat menuntut perubahan dan penyesuaian di kalangan para penulis. Perubahan dan penyesuaian ini perlu dilakukan supaya para penulis dapat menjalankan fungsi dan mencapai matlamat penulisannya dengan lebih berkesan lagi dan bukan untuk menukarkannya sama sekali. Pada pandangan saya, biar apa pun perubahan yang berlaku, fungsi asas seorang penulis masih tetap untuk merakamkan suara peribadinya terhadap dalam kehidupannya dan juga untuk bertindak sebagai jurucitra zamannya.

Sebagai jurucitra zaman atau era teknologi maklumat, para penulis harus memberi perhatian dan menilai kesan-kesan penggunaan teknologi tinggi ini dalam kehidupan masyarakat mereka dan dunia umumnya. Ringkasnya, para penulis wajar bertindak sebagai pemikir atau perenung mengenai corak kehidupan dalam era ini dan menilai bagaimana teknologi ini boleh atau telah menjejas kebudayaan dan nilai-nilai kemanusaiaan. Hasil renungan dan penilaian yang dirakam dan dicerna secara estetik mengikut ukuran sastera, akan membantu menimbulkan kesedaran dan meningkatkan pengetahuan khalayak sastera mengenai makna dan nilai hidup yang murni dan sebenar.

Sejak zaman dulu lagi, sastera telah diangkat sebagai wadah untuk memanusiakan manusia dan membudayakan manusia. Biarpun keunggulan fungsi dan pengaruh sastera telah dipersoalkan kerana gejala utilitarianisme dan pragmatisme yang makin menguasai perilaku manusia dan ramalan tentang sistem ekonomi kapitalisme dan sistem politik liberal akan menguasai masa depan (Budi Darma 1998), diyakini peranan dan cabaran penulis sebagai pelengkap budaya dan pengimbang kehidupan insan masih terus relevan dan penting malah bertambah genting dalam era teknologi maklumat ini.

Siapakah pujangga Melayu baru dan bagaimanakah corak kepujanggaan Melayu di ruang siber ini? Yang lebih penting, apakah persediaan golongan penulis itu sendiri untuk melungsur di ruang siber ini?

Sejarah persuratan Melayu membuktikan yang para budiman dan sasterawannya dikenang bukan kerana penguasaan teknik mereka semata-mata tetapi kerana kekuatan pemikiran dan kehebatan daya kreatifnya yang berjaya mencetuskan kesedaran, membuahkan kesegaran rasa, wawasan baru atau pengalaman seni yang berkesan kepada pembaca atau khalayaknya. Ini terbukti melalui contoh dua orang tokoh sasterawan besar Nusantara iaitu Hamzah Fansuri dan Munsyi Abdullah.

Pada setiap zaman dan tahap perkembangan sastera Nusantara telah lahir pada pujangga dengan karya agung mereka yang meneruskan dan meningkatkan tahap pencapaian sastera dan budaya Melayu. Alam kepengarangan Melayu terus berkembang secara tetap dan meyakinkan kerana dinamisme seni para sasterawan kita yang silih berganti sepanjang zaman. Kini kita berada pada alaf baru yang sedang berhadapan dengan arus globalisasi. Tugas dan tanggungjawab untuk meneruskan dinamisme seni dalam ruang teknologi ini terletak di bahu setiap sasterawan untuk terus mengangkat kemurnian budaya dan keistimewaan sastera Nusantara di persada antarabangsa.

Malah langkah yang harus difikirkan sekarang ialah merancang strategi yang paling berkesan untuk menyebarkan hasil sastera kebangsaan di dunia global. Selain daripada kegiatan menterjemahkannya ke bahasa-bahasa antarabangsa, penyebaran melalui penerbitan yang berprestij dan dengan menggunakan kecanggihan ICT harus dilakukan secara berterusan. Hasil karya sastera yang menggambarkan hati nurani bangsa penciptanya dapat dijadikan produk budaya untuk memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Hasil sastera juga tiada batasan bangsa dan geografi khalayaknya. Jika kita dapat menikmati karya sastera bangsa lain, maka sewajarnya bangsa lain pun dapat menikmati karya sastera penulis Malaysia. Meskipun pada penulis Malaysia harus menulis karya mereka dengan kesedaran sasaran khalayak yang global, namun mereka harus tidak melupai akar atau persekitaran alam, budaya dan agama di mana bumi dipijak di situ langit mereka junjung. Melalui karya sastera yang universal temanya, pembaca global akan dapat menikmati pemikiran yang menjadi mesej pengarang Malaysia. Sesuai dengan era globalisasi, maka usaha pembinaan dan penataran bakat para penulis di Malaysia sewajarnya ke hala tuju tersebut.

Penutup

Sebenarnya teknologi hanyalah alat dengan kehidupan manusia. Sama ada kita suka atau tidak teknologi maklumat ini perlu dipelajari dan dikuasai dengan cekap dan bijaksana supaya jangan mudah diperalat orang yang menguasai teknologi atau menjadi mangsa teknologi. Teknologi bukan jaminan kesejahteraan hidup dan ketinggian kesenian. Sejarah telah membuktikan bahawa penyakatan sesebuah budaya atau sastera terletak pada daya kreatif, inovasi, keyakinan dan kesedaran segolongan budayawan atau sasterawannya untuk meningkatkan diri dan kehidupan bersama.

BIBLIOGRAFI
Dr. Hadijah Rahmat. 1999. Teknologi dan Perkembangan Sastera Nusantara. Yayasan Warisan Johor dll: Johor Bahru.
Hamzah Hamdani. 2003. Keranamu Malaysia: Sastera Dalam Era ICT. Kota Kinabalu: Gapena, Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dan DBP Cawangan Sabah.
Mohd Dahri Zakaria. 2004. Sastera Siber Sebagai Wadah Alternatif. Akhbar Mahasiswa, Februari 2004. (Disiarkan semula dalam esastera.com: http://www.esastera.com/kk/ Sastera-SiberSebagaiWadahAlternatif.htm)
Rohizah Halim dan Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail. 2002. Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Para Penyair. 2001. Graffiti Gratitude. Sebuah Antologi Puisi Cyber. Bandung:Yayasan Multimedia Sastera.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

blog's IP3B