Powered by Blogger.
RSS

Minggu 1- Artikel " Cabaran Memperkembang Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat"



BICARAKARYAWAN Bersama Prof. Madya Dr. Ding Choo Ming

APABILA berdepan dengan teknologi maklumat (TM), Internet, ruang siber, globalisasi dan liberalisasi, apakah yang terjadi dan akan terjadi kepa­da bahasa Melayu nanti? Yang jelas ialah pendulum di seluruh dunia telah berayun ke arah mempelajari dan memperkembang bahasa Inggeris, bahasa dunia!

Jawapan kepada soalan di atas terletak pada kemampuan, kebolehan, kepintaran dan kekreatifan kita menggunakan bahasa Melayu, yang sudah mempunyai kekuatan dan status yang ada; bahasa yang keem­pat besarnya di dunia. Beberapa isu itu sudah dibincangkan dalam rencana saya dalam Dewan Bahasa (November 2003: 16- 24). Kekuatan dan status bahasa Melayu kini terletak pada sifat-sifat asasi yang membolehkannya dikembangkan dari masa ke masa. Sifat-sifat itu bukanlah penganugerahan daripada kuasa Tuhan, tetapi hasil kejuruteraan bahasa melalui pembentukan sosial, ekonomi, politik dan lain-lain daripada manusia yang meng­gunakannya. Keajaibannya juga terbukti pada peranannya sebagai bahasa perpadu­an rakyat Malaysia yang berbilang kaum selepas kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Bahkan bahasa Melayu pernah men­jadi bahasa perdagangan, dan lingua franca antara orang rumpun Melayu dengan orang bukan rumpun Melayu. Kegemilangan masa lampau itu boleh kekal selagi semua rakyat bertekad untuk memperkembangnya dalam menghadapi arus globalisasi dan liberalisasi.

Untuk menghadapi cabaran baru dalam era TM dan seterusnya, bahasa Melayu perlu dikembangkan menjadi bahasa sum­ber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa sumber pengetahuan, bahasa sumber sains dan teknologi, lebih-lebih lagi bahasa sumber kewangan. Untuk berbuat demikian, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam TM perlu dihasilkan. Impian itu hanya boleh tercapai dengan adanya lebih ban­yak pengarang, penyelidik, guru, pener­bit dan institusi penyelidikan. Selain itu, sebahagian bahan itu mestilah berbentuk digital untuk memenuhi kehendak generasi muda yang membesar di depan kom­puter, Internet, pangkalan data dan portal. Tanggungjawab memperkembang, memper­tahankan dan memodenkan bahasa kebang­saan yang berat ini tidak dapat dipikul oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan atau Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Dengan kata lain, semua pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan mesti melibatkan diri secara aktif.

Inilah masanya untuk kita melakukan suatu yang besar maknanya kerana kita masih berada di pangkal jalan era TM. Jika tidak, kita akan karam dalam arus globalisasi yang juga digelorakan bahasa Inggeris, selain kuasa ICT (Information, Communication and Technology). Memandangkan semakin banyak rakyat Malaysia kini sudah berpendidikan tinggi, maka seharusnya tahu melakukan kerja dengan lebih bijak, inovatif, kreatif dan produktif dan seharusnya mencontohi jejak langkah sarjana dan institusi di England, Amerika Syarikat dan Australia, misalnya dalam memperkembang bahasa Inggeris. Usaha itu sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan bantuan teknologi maklumat. Daripada pro­jek penyelidikan bahasa Inggeris seperti Technology Enhanced Language Learning (TELL) dan Computer Assisted Language Learning (CALL) yang dilakukan di England, Amerika Syarikat dan Australia, kini sudah ada data bahasa terbaca mesin yang boleh diperoleh dalam CD-ROM, Internet dan pakej elektronik yang lain tentang bahasa Inggeris.

Peluang untuk melakukannya terbuka luas kini dengan semakin banyak alat bantuan sudah tersaji di hadapan kita. Minat kita terhadap bahasa Melayu sudah meningkat ekoran peningkatan penekanan negara asing terhadap pasaran ekonomi di Alam Melayu. Cabaran kepada bahasa Melayu pada masa depan terletak pada sama ada kita boleh memperkembangnya menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber ekono­mi, bahasa sumber teknologi dan bahasa sumber pemodenan yang boleh diharapkan untuk membuka pintu gerbang ilmu, men­cari mutiara maklumat, dan menaiki mahligai pendidikan yang lebih tinggi untuk dapat menikmati rasa pemodenan, sekali gus peningkatan taraf hidup. Perjalanan itu bukan sahaja panjang, tetapi juga berliku-liku dan penuh ranjau. Segala-galanya, menuntut peningkatan intelektual rakyat Malaysia dan pengintelektualan bahasa Melayu. Untuk melaksanakannya, lebih banyak buku dan pengarang diper­lukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang IT. Sehubungan itu, portal www.malaycivi­lization.com yang dibina khas di ATMA itu cumalah satu tapak kecil dalam lang­kah besar kita untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Pendek kata, pintu untuk memperkembang bahasa Malaysia sudah bertambah baik, semakin menjadi lebih menarik.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Alam & Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia.

e-mel: dingukm@yahoo.com

ing


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment