Powered by Blogger.
RSS

Minggu 1- Artikel "5.2 Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat 689"

Oleh : Hassan Ahmad

Pendahuluan

Kertas ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama menjelaskan makna ‘era teknologi maklumat’ secara umum dan implikasinya terhadap manusia dan negara-bangsa. Bahagian kedua mengemukakan beberapa cadangan kepada Kongres. Masalah yang perlu kita selesaikan bukan masalah bahasa Melayu tetapi ialah dasar negara-negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat di dalam negeri ini, dan peranan, sumbangan serta tindakan perancang bahasa, para sarjana/ilmuwan dan pemikir berbahasa Melayu untuk menghadapi cabaran zaman teknologi maklumat itu. Saya menganggap bahawa cabaran besar teknologi maklumat bukanlah teknologinya tetapi ialah maklumat atau budaya yang disebarkan melalui teknologi itu.

Bahagian I : Maksud Era Teknologi Maklumat (TM), fenomena globalisasi dan Implikasinya

1. Dalam tahun 1960-an Marshall McLuban meramalkan bahawa dunia akan menjadi ‘kampung sejagat’ atau global village. Proses ‘pengampungan dunia’ ini kini disebut ‘pengglobalan’ atau ‘globalisasi’ (saya membezakan istilah ini dengan ‘pensejagatan’ atau ‘universalisme’). Kuasa atau faktor yang bertanggungjawab menggerakkan proses ini banyak. McLuhan memikirkan faktor komunikasi yang dapat merentas sempadan dunia dengan kelajuan yang semakin pantas. Kini kuasa atau faktor yang sama sudah mencapai tahap perkembangan yang lebih canggih lagi, dalam bentuk yang disebut teknologi maklumat (TM). Seluruh dunia dikatakan sedang dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan ke seluruh dunia secara elektronik melalui ruang siber [istilah cyber pertama kali diciptakan oleh William Gibson dalam buku cerekaan sains komputernya yang bertajuk Neuromancer]. Tetapi ada dua kuasa lain yang turut menggerakkan proses ini, iatu kuasa ekonomi pasaran bebas dan kuasa ‘demokrasi liberal’ ala-Barat. 690 Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu V

2. Apakah kesan atau akibat proses globalisasi ini terhadap budaya manusia dan kuasa atau ‘kedaulatan’ negara bangsa? Tiga kesannya yang sering disebut orang ialah, pertama, dunia dikatakan tidak akan bersempadan lagi. Oleh kerana maklumat disebarkan melalui ruang siber atau cyberspace, tidak melalui ruang bumi atau ruang geografi atau melalui media cetak semata-mata, maka orang mula percaya bahawa sempadan negara-bangsa yang selama ini dikawal oleh dasar politik, dasar budaya dan dasar maklumat masing-masing, sukar dikawal lagi. Maklumat yang disebarkan melalui internet yang kini merupakan sistem atau cabang lebuhraya maklumat elektronik atau electronic information highway1 yang terbesar dikatakan sukar ditapis atau dikawal oleh kerajaan. Manusia di mana-mana sahaja berpeluang menggunakan dan menyebarkan apa sahaja maklumat untuk kepentingan mereka, sama ada dengan tujuan yang baik mahupun yang tidak baik, tanpa kawalan daripada mana-mana pihak, terutama pihak berkuasa kerajaan yang mengamalkan dasar kawalan maklumat yang konservatif. Kesan kedua ialah berlakunya proses ‘homogenisation’ atau proses ‘penyeragaman’ budaya kepenggunaan dan nilai manusia. Dipercayai bahawa minda dan kelakuan manusia di seluruh dunia sedang dibentuk menurut peraturan dan sistem nilai yang sama,

yang disebut’ peraturan dan sistem nilai sistem global’. Misalnya, manusia di mana-mana sahaja akan menggunakan teknologi dan bahan maklumat yang sama, menyerap nilai-nilai atau acuan demokrasi dan peraturan ekonomi yang sama, menonton serta menghayati hiburan yang sama, mendengar atau membaca berita dunia yang sama, menggunakan bahasa global yang sama, iaitu bahasa Inggeris yang pengaruhnya sebagai bahasa penyebar utama teknologi maklumat global semakin merebak.

3. Kesan Ketiga ialah, berlakunya proses penjajahan baru (‘neokolonialisme’) yang dipercayai digerakkan, secara sedar atau tidak, oleh kuasa-kuasa ekonomi dunia (seperti Kumpulan Negara “G-7”, Tabung Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, dan saudagar gergasi teknologi maklumat. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah menganggap proses globalisasi itu sebagai proses penjajahan baru. Negara-bangsa, terutama yang sedang membangun, selalu dipaksa oleh kuasa-kuasa global yang monolitik supaya mematuhi nilai, sistem dan peraturan yang sama menurut kehendak atau acuan, kepentingan dan agenda mereka. Kita kini sedang melihat bagaimana krisis ekonomi yang sedang dialami oleh beberapa buah negara Asia Timur, termasuk beberapa buah negara ASEAN, cuba diaturkan semula oleh Tabung Wang Antarabangsa (IMF) menurut kehendak, peraturan dan fatwa pertubuhan itu (pertubuhan yang kadang-kadang disebut ‘International Ministry of Finance’) sehingga negara yang mengalami krisis itu tidak dibenarkan Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat 691 memikirkan cara-cara yang lain, cara sendiri, untuk membetulkan kelemahan dan memulihkan keadaan ekonomi sesuai dengan kepentingan bangsa dan negara sendiri. Dalam majalah Asiaweek baru-baru ini tersiar surat seorang pembaca dari Malaysia yang berkata bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, mesti menyedari bahawa di dunia ini yang berkuasa untuk menentukan nasib bangsanya sendiri bukan orang seperti beliau lagi tetapi ialah IMF. Ini menunjukkan bahawa manusia yang cetek fikiran dan pandangan sudah terperangkap dengan propaganda dan ideologi badan dunia seperti IMF.

4. Kalau teknologi maklumat global, peraturan ekonomi global dan sistem demokrasi global akan membawa kepada musnahnya kebebasan dan kuasa negara-bangsa atau bangsa-bangsa di dunia ini untuk mempertahankan kepentingan mereka dalam bidang maklumat, ekonomi dan pemerintahan saya kira tidak ada bangsa yang akan menyerah kepada proses globalisasi itu. Tanda-tanda menunjukkan bahawa proses globalisasi itu tidak akan

membawa kepada ‘kemajuan’ yang baik dan adil kepada semua bangsa dalam sistem yang diglobalisasikan itu. Dalam sistem global kemajuan manusia atau bangsa dalam bidang apa pun sangat bergantung pada dua faktor; pertama, tahap kemajuan ilmu yang ada pada bangsa itu, dan kedua, disiplin atau nilai budaya bangsa itu. Negara atau bangsa yang tidak maju atau tidak kuat dari segi dua faktor ini akan mudah menjadi mangsa kepada kuasa-kuasa global. Walaupun kita menyangka bahawa bangsa-bangsa di dunia ini dapat hidup dan maju melalui apa yang disebut penggabungan strategik atau strategic alliance dengan negara yang maju, proses ini sebenarnya tidak berlaku. Negara yang tidak maju ilmu dan tidak kuat budayanya akan terus menjadi mangsa monopoli dan kuasa negara pengembang ilmu dan pengeluar teknologi maklumat. Keadaan inilah yang digunakan oleh negara perusahaan teknologi maklumat untuk terus mewujudkan budaya konsumerisme di seluruh dunia dengan menggunakandan menjual teknologi dan maklumat sebagai produk perdagangan kepada sebanyak mungkin negara pengguna tanpa memikirkan faedahnya dari segi kemajuan tamadun manusia sejagat, misalnya sebagai alat memupuk kerjasama dan persefahaman tamadun atau budaya dan agama. Satelit digunakan untuk membolehkan semua pengguna television di seluruh dunia, misalnya, untuk menonton lebih banyak tayangan filem hiburan, keganasan, seks dan sebagainya yang dibikin di luar negeri, dan untuk mendengar berita CNN. Saluran-saluran TV 24 jam semakin banyak. Orang di mana-mana sahaja, termasuk di negara yang miskin dan yang menghadapi krisis ekonomi, krisis sosial dan krisis budaya, terus digalakkan malah diasak oleh saudagar TM dan TV kabel(yang selalunya disokong oleh kerajaan) supaya membeli dan menggunakan produk 692 Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu V mereka. Internet, walaupun banyak faedahnya, keburukannya juga semakin banyak. Internet sudah menjadi ‘tong sampah’ dan ‘tong najis’ global, tempat orang menjual dan menyebarkan maklumat bermutu rendah,

maklumat yang salah, maklumat yang karut. Perbuatan ‘spam’, yakni perbuatan menghubungi e-mail orang lain dengan tujuan untuk mengutuk, memaki, mencarut dan menyebarkan maklumat palsu semakin menjadijadi.

5. Saya tertarik dengan pandangan John Naisbitt dalam bukunya The Global Paradox (1995). Beliau berpendapat bahawa semakin dunia ini menjadi ‘global’ semakin kuat pula timbulnya kesedaran ‘tribal’ atau semangat ‘sukuan’ dan nasionalistik di kalangan manusia setempat. Bangsa atau kumpulan etnik yang kecil yang berasa terancam oleh proses globalisasi itu akan berusaha untuk mempertahankan jati diri budaya kedaulatan sempadan negara-negara masing-masing. Inilah yang sedang berlaku di kebanyakan kawasan di dunia pada hari ini. Lihat sahaja contohnya di Sri Lanka, di Eropah atau Eropah Timur, khususnya di bekas kesatuan Yugoslavia dan Kesatuan Negara-negara Soviet setelah gagalnya ideology komunisme untuk menyatukan bangsa yang berbeza-beza. Manusia berperang dan berbunuh-bunuhan kerana perasaan asabiah, iaitu perasaan bangsa, agama dan budaya, dan asal sejarah masing-masing. Naisbitt meramalkan bahawa Eropah mungkin akan berpecahmenjadi 70 buah negara dan dunia seluruhnya akan melahirkan 1000 buah negara. John Naisbitt berpendapat bahawa dalam era atau zaman teknologi maklumat, negara atau bangsa yang kecil dapat terus hidup dan maju dalam bidang apa pun dengan mengadakan strategic alliance dengan negara lain melalui rangkaian maklumat global yang ada, misalnya melalui lebuhraya maklumat yang disebut Internet itu. Tetapi penyertaan dalam strategic alliance atau penggabungan strategik ini tidak akan bermakna sekiranya negara atau bangsa yang kecil itu tidak maju dari segi tahap perusahaan atau tamadun ilmunya. Mereka akan menjadi peserta atau pelaku yang lemah dalam sistem penggabungan strategik itu.

Bahagian II: Masalah dan Cadangan

1. Jadi, fenomena yang disebut ‘globalisasi’ itu sebenarnya bukanlah suatu gerakan atau proses ketamadunan dunia yang boleh membawa kepada persefahaman budaya yang lebih mendalam antara manusia di seluruh dunia tetapi bangsa yang kuat dengan bangsa yang lemah. Proses ini didorong oleh kepentingan ekonomi dan perdagangan, tidak oleh perasaan kemanusiaan atau kebudayaan. Kita menganggap bahawa teknologi maklumat haruslah Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat 693 dikembangkan berdasarkan matlamat untuk menggalakkan pertumbuhan ilmu dan pertukaran bahan ilmu, budaya dan tamadun antara semua bangsa di dunia ini. Dunia Barat memperjuangkan dasar atau prinsip ‘pengaliran maklumat yang bebas’ atau ‘free flow of information’. Negara-negara yang sedang membangun menganggap dasar ini tidak adil kerana dunia Barat cuma mementingkan maklumat yang mengalir dari dunia mereka ke dunia lain. Desakan negara-negara membangun supaya pengaliran maklumat antara dunia Barat dengan dunia bukan Barat biarlah lebih berimbang telah ditolak oleh negara-negara Barat.

2. Sekarang dunia Barat bukan sahaja menguasai penyebaran maklumat sedunia melalui media cetak; mereka juga menguasai media elektronik global (internet, TV kabel, dll) untuk menyebarkan maklumat mereka secara global dengan lebih pantas lagi, terus ke dalam bilik tidur kita.

3. Sayugia diingatkan bahawa maklumat bukan ilmu.Yang disebarkan melalui internet ialah maklumat - berbagai-bagai jenis maklumat, termasuk maklumat lucah dan kotor. Bahan yang bercorak ilmu, kalau ada pun, disebarkan melalui ensiklopedia tentang dunia dan tamadun Barat. Internet sudah menjadi komplek membeli belah global, tempat peniaga seluruh dunia menjual maklumat sebagai barang dagangan. Inikah yang dikatakan revolusi TM? Ynag canggih bukan maklumat tetapi ialah teknologi maklumat itu, misalnya program ‘internet browser’, yang diciptakan untuk membolehkan pengguna internet mengakses maklumat dengan cepat atau merayau-rayau (‘surfing’) dalam internet untuk mencari maklumat dan hiburan.

4. Jadi, untuk menghadapi cabaran TM global yang semakin bercorak komersial dan propagandis itu, dan yang mungkin boleh memusnahkan budaya dan sistem nilai bangsa kita, kita memerlukan suatu dasar TM negara yang dapat mengimbangi maklumat global itu, dasar yang dapat memperkenalkan tamadun Malaysia ke seluruh dunia melalui lebuhraya maklumat global,dasar yang dapat melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam proses kemajuan TM di negara ini. Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi Pengerusi Majlis Teknologi Maklumat Negara (nama majlis ini diterjemahkan daripada namanya dalam bahasa Inggeris, National Information Technology Council) dalam ucapannya merasmikan Persidangan Teknologi Maklumat Kebangsaan atau INFOTECH 98 Malaysia, anjuran Persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 April yang baru lepas, berkata bahawa ‘….teknologi maklumat perlu didedahkan kepada masyarakat secara meluas untuk mengurangkan jurang perbezaan 694 Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu Vantara masyarakat bandar dengan masyarakat desa’. Dato Seri Anwar seterusnya berkata bahawa melalui agenda IT [TM] ‘Malaysia menggunakan pendekatan dan kaedah yang membolehkan teknologi itu difahami oleh seluruh lapisan masyarakat. Kita jadikan IT [TM] suatu budaya masyarakat’2. Ini adalah dasar TM yang baik bagi kita. Kita tidak mahu TM menjadi hak milik golongan elitis sahaja atau dikembangkan semata-mata sebagai produk ekonomi dan perdagangan dan melupakan peranan TM sebagai alat pembina budaya atau tamadun tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

i. Tetapi bagaimanakah dasar TM negara yang hendak memupuk budaya TM di negara ini dapat difahami dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat sekiranya bahasa Melayu yang difahami oleh majority rakyat negara ini tidak digunakan sebagai bahasa utama TM? Yng kita nampak pada hari ini ialah, bahasa Inggeris, tidak bahasa Melayu. Hampir semua perisian (‘software’) komputer yang kita gunakan adalah dalam bahasa Inggeris. Hal ini dapat kita mengerti kerana semua program atau perisian komputer itu dibuat di luar negeri, terutama di Barat. Tetapi ini tidak bererti bahawa maklumat yang disampaikan melalui program elektronik itu tidak boleh dibuat dalam bahasa Melayu. Di negeri lain, misalnya di Jepun atau di Perancis, walaupun perisian komputer (misalnya ‘operating system’ ataupun ‘word-processor’) dibuat di negara berbahasa Inggeris, namun pengguna komputer di Jepun atau di Perancis menggunakan perisian yang sama dalam versi bahasa kebangsaan masing-masing. Amalan kita di Malaysia lain sekali. Sebagai contoh, pembekal perkhidmatan internet saya ialah Syarikat Telekom Malaysia, badan yang dikuasai/dikendalikan oleh orang Melayu dan didukung oleh kerajaan. Tetapi 99% daripada bahasa yang digunakan oleh TmNet untukm menyampaikan maklumat kepada pelanggannya adalah bahasa Inggeris. Jikalau keadaan seperti ini berterusan TM akan terpisah daripada rakyat yang kebanyakannya tidak mengetahui bahasa Inggeris.

ii. Jadi, untuk mencapai tujuan dasar atau agenda TM negara seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Seri Anwar itu maka bahasa Melayu, sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan yang difahami dan digunakan oleh majoriti penduduk Malaysia, hendaklah dijadikan bahasa TM yang utama di Malaysia. Kerajaan hendaklah mengarahkan pihakpihak pembekal Perkhidmatan Internet (‘internet service providers’) seperti Syarikat Telekom Malaysia dan MIMOS, dan badan-badan kerajaan yang membuka laman jaringan atau laman web dalam internet Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat 695 supaya menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat masing-masing. Kita boleh mengimport perkakasan (‘hardware’) komputer dan program internet yang dibuat dalam bahasa Inggeris tetapi mengapakah maklumat yang merupakan bahan yang kita ciptakan sendiri mesti disebarkan di dalam negeri ini melalui computer dan internet dalam bahasa Inggeris? Jikalau kita menganggap bahawa maklumat itu penting juga kita sebarkan ke seluruh dunia melalui internet maka terjemahannya ke dalm bahasa asing (misalnya bahasa Inggeris) bolehlah dimasukkan.

iii. Sehubungan ini kerajaan hendaklah mula membudayakan projek Koridor Multiraya berdasarkan kepentingan dan acuan Malaysia. Antara lain ini bererti Koridor lebuh raya multimedia itu hendaklah memasukkan komponen bahasa Melayu ke dalam sistem itu, sekurang-kurangnya dalam pengurusannya dan dalam maklumat Malaysia yang disediakan. Walaupun bangsa Malaysia patut berfikir global (‘think global’) tetapi kita mesti bertindak berdasarkan kepentingan ruang kebangsaan kita sendiri (‘act local’). Kita tidak mahu kawasan kebangsaan kita ‘dijual’ kepada kuasa-kuasa TM dan ekonomi global. Budaya dan bahasa kebangsaan negara memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempertahankan sempadan kebangsaan kita.

iv. Dasar TM Malaysia hendaklah mengadakan peruntukan wang yang cukup untuk membiayai pembinaan korpus maklumat elektronik yang bermutu dalam bahasa Melayu (jika perlu disertakan terjemahannya dalam bahasa Inggeris untuk pengguna maklumat global) tentang tamadun Malaysia, misalnya tentang sejarah, budaya, sastera, dan sebagainya. Laman-laman web dalam bahasa Melayu tentang tamadun dan budaya Malaysia, tentang karya agung Melayu, misalnya, hendaklah diwujudkan oleh badan-badan tertentu, seperti DBP, dalam internet setempat dan internet global. Korpus elektronik tentang pantun Melayu, pepatah Melayu, atau kesenian Melayu, silat dan senaman Melayu , mesti dibina. Untuk menyediakan korpus elektronik ini barangkali kerajaan perlu melantik kumpulan sarjana dan pakarpakar program komputer atau pembina ‘perisian komputer’ dalam negeri.

v. Rancangan untuk membuat dan mengeluarkan berbagai-bagai perisian program komputer dalam bahasa Melayu hendaklah diadakan. Jika kita mahu penduduk Malaysia berbahasa Melayu celik komputer, celik makjlumat, dan menggunakan TM, maka rancangan pembuatan 696 Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu V dan pengeluaran perisian program komputer, termasuk program pemprosesan kata, dalam bahasa Melayu penting.

5. Perlu diingat juga bahawa apabila kita bercakap tentang bahasa Melayu yang kita maksudkan bukan bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia sahaja tetapi bahasa Melayu yang digunakan oleh lebih 200 juta manusia di rantau ini. Ini bererti bahawa ‘pasaran’ TM dalam bahasa Melayu cukup besar. Lebih penting lagi, bahasa Melayu dapat dimajukan sebagai bahasa TM bersama di rantau ini. Mengapa kita mesti menyerahkan kawasan ini kepada bahasa Inggeris – bahasa yang tidak pernah menjadi bahasa tamadun rantau ini? Jadi, penting juga kita memikirkan kemungkinan mewujudkan rangkaian lebuh raya maklumat atau rangkaian internet bahasa Melayu di rantau ini.

6. Kemajuan ilmu dalam bahasa Melayu penting untuk menjayakan dasar TM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Seperti kata Dato’ seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya yang disebut di atas, ‘Apa yang dimuatkan dalam komputer adalah pelbagai jenis sampah dan maklumat; hanya mereka yang mempunyai kefahaman asas dan pengetahuan [sahaja yang akan] berupaya menapisnya sendiri.’ Jadi, TM harus berkembang bersama-sama atau berdasarkan perkembangan ilmu. Maka rancangan pembinaan ilmu dalam bahasa Melayu, melalui pendidikan tinggi dalam sistem pendidikan kebangsaan, melalui kegiatan penulisan ilmu dan penerbitan buku ilmu tinggi dalam bahasa Melayu di luar ruang siber, yakni di bumi yang nyata ini, hendaklah terus mendapat dukungan dan bantuan yang kuat daripada ekonomi negara. Janganlah rancangan penerbitan korpus ilmu dalam bahasa Melayu menjadi mangsa kegawatan ekonomi negara yang sedang berlaku sekarang. Kita semua percaya bahawa ilmu adalah petunjuk atau indeks penting kemajuan sesuatu bangsa atau negara. Rancangan TM negara akan gagal jika iatidak didasarkan pada kemajuan ilmu yang dikembangkan dalam bahasa Melayu – bahasa yang lebih layak daripada bahasa Inggeris untuk menjana kemajuan dan tamadun indigenus di negara ini.

(Footnotes)

1 Istilah Information Superhighway ini pertama kali digunakan oleh Albert

Gore, Naib-Presiden Amerika Syarikat pada 21 Disember, 1993, dalam

ucapannnya di National Press Club, di Washington.

2 Dipetik daripada Samsor Junet, Utusan Malaysia, 22 April 1998.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment